Kisah Sedih tentang Saat Terakhir Siti Hajar Binti Ahmad Sabir sangat
menyentuh hati sebagai umat Islam. Siti Hajar adalah pelajar UTeM
Melaka dan salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan
raya yang berlaku pada 6 Januari lepas.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan kehadrat Allah swt. Blog
yang telah lama saya tidak update akhirnya diminta isi dengan suatu
hikmah yang besar dari seorang mujahidah yang telah pergi ke alam sana.
Hasil penulisan ini sesungguhnya ditulis oleh ibunya yang tercinta,
ibu kepada arwah Siti Hajar Binti Ahmad Sabir (alfatihah). Semoga kita
memperoleh manfaat yang besar dari perkongsian ini. Selamat membaca.
6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera
bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu
berita kemalangan itu.
7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat
lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah
kewangan mula berbangkit, wang kami tidak mencukupi’
8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar.
Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan
selesai.
9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang
petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan
darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari
hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke
perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan
kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan
berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam
dan di luar negara.
10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi, kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’.
Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih
bermaya. Kami ceritakan tentang kawan2 yang datang, yang berkirim salam
dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam
biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata
pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap
dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata
sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita
ceria, aura kita berpindah kepadanya.
Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk
rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian
dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga
peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan
penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak
mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan
perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan
tidak mensyirikkan Allah.
11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup
sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus
betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak
bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2
mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2
lucu mereka.
Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke
siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan
kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar .
Lawatan Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada
Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan
pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat
menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.
12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke telefon untuk memberi
semangat kepada Hajar. Kami perlu kuatkan pernafasannya. Latihan
pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia
dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan
dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan
menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2
amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan
keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.
13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya
terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole
truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada
dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang
mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil
kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya
hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang
dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita
dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak
disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita
inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau
dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula
dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya
sekalipun.
Tak ada rahsia lagi. Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu
situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga
pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan,
tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup,
katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi
tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan
bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya, dia akan bersyukur.
Pasti ade hikmahnya.
Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci kepadanya, dia kata “Mak
dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an dua
atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya.
Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut
SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan,
kan?.”akuinya penuh jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?”
“Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’
14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca
sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema,
kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar
semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari
nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan
kecemasan diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut.
Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang
menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema
mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung tersumbat semula.
Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak
membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2
suci dan zikir2. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa dan
tidak mencungap cungap lagi. Keletihan yg teramat sangat..tetapi
bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.
Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya
dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang.
Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin
sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan
dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan
air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas
dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula
menurun. SUBHANALLAH.
Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di
rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah
tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada
Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”Sesekali dia
tersenyum manis. Kami tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi
sangat”.” Selalu ke akak terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje,
kadang2 masa nurse datang, kadang2 waktu sahabat ziarah” Hati kami mula
rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan
menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai.
Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga.
Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan
mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.
15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung
semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan
untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali
ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan
buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut
teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk
tapi kepalanya agak senget – masih tak boleh kawal gerakan kepala.
Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher” lalu
Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat
yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)
Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub
penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan
dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam
zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia
angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya
berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”.
“Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya
tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila
minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit
dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?
Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat
pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan
dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam
diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai
yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak solat dalam keadaannya
seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan
ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang
dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang
prihatin dan sudi menolong.
Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar
menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah
banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak
sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak,
dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak
nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana?
Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain
pula mengambilalih.
16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam
kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit
minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia
betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya.
Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi
muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”.
Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.
Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula
disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah?
Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.”
Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi
menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse
sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan.
Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak
pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu
ternampak akak muntah dan dia datang bantu.
Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya
menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian
muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak
gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin
rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi
untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.
Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan
belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak
menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih
sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal
keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak
mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan
rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”.
Angguk.
Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu
menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde
sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau
mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang
tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis
ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau
umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”
Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk
rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2
dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu
minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia
berada dihospital tu. Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.
Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya,
“Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah
badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah
tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je”
MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan
Allah. Sentiasa berbaik sangka Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis
qudsi, Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita
yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.
17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba
menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan
najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf
tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan. Ultrasound pula
diambil. Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik
untuknya.
Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang
membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub
dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut.
Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca
pembengkakan itu diketahui.
Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari
masa ke semasa. “Akak, jgn bimbang, kita orang Islam dah dilatih
berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak,
memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah
Allah hilangkan dahaga akak” . Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya
dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal
harganya…sabar ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk..
Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan
selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.
Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan.
Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya
terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri
membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak
pandang keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak
tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak dakwah
sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab
“Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak lama
lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia
terus mengingati Allah. Angguk.Dalam termengah2 dia berkata”mak, izinkan
akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan” “ Ya, mak izinkan, mak
doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia
mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola
matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor
dan nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar.
Mereka mula memasang topeng oksigen,dan menaikkan tekanan darah.
Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan
dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami
berkejar kejaran tolak katil Hajar ke ICU okid.
Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke
mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali
terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan
dan tak bangun2 lagi.
18 Jan 2013 (Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus.
Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk
solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan
CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin
biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas
kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa
nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya
bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja lagi 99% .Hakikatnya
carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.
19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan
kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar,
pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu
dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang
kebenaran pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak
menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk
bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan
tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi,
kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan
diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.
Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor
memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak
berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan
dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci
kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain.
Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak.
Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana
keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan
boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama
tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang
rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil
keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya
besar.
Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang
benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar
stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus
itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI
MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling
selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan
lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung
terhenti lagi.
Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan
sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan
kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak
segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak
boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh
membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah
cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit
takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun
dirinya sendiri.
Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah
dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa
untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan,
Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati.
Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir
20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam
munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul
maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan
meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah
sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA
ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami
berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan
akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia
kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU
yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.
Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan
lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara
mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan
mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih
kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan
dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap
tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya
SITI HAJAR
Engkau bermula dengan sengsara
Dalam mencari bahagia
Terasa bagai bayang bayang
Gelap walau di suluh cahaya
Pepasir pantai pun berubah
Pabila HAKIKAT melanda
Ketenangan yang kau cari
Terpancar di lorong sufi
Kelunakan tangisan kasihmu
Dalam simpuhan ketaatan
Bagi mengharapkan keredhaan
Darimu TUHAN pencipta Alam
Sungguh agung pengabdianmu
Kau berjaya menjadi iktibar
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan kekasih Allah
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang solehah. Al-Fatihah…